Thursday, May 2, 2013

BUNUH DALAM BISU

BERSEMBUR LIUR TERBURAI SEGALA ISI PERUT
SENDI TERPUTUS BERPISAH KEPALA BADAN
YANG DIGENGGAM BEGINI YANG DILEMPAR BEGITU
HILANG RASA SALAH MENGIDAM KEMARUK UNTUK MENYALAH
BEREBUT MENDABIK BERPELUK SI SERI TAWAR KONTANG TIADA ISI
TERBANG TIADA PAKSI BERSEPAH TABIK MENDONGAK
TAPAK ATAS KEPALA MULA BICARA BUAK MENGGILA
MARI SINI AKU BERMADAH CARA  MURKA
USAP BELIKAT TEPUK  BAHU DIHUNUS KE DADA HILANG HATI KERANA RACUN
KHABAR DIKHUTBAH HIDUP MATI DALAM PAYUNG
DALAM MEMAYUNGI YANG TEMPIAS MATI MENANTI TEDUH
SERONOK DISULUH DIPANCAR BERKELIP-KELIP SILAULAH!
TERSOROK DI BALIK LORONG BAYANG SEMBUNYI TERSENYUM SENDIRI
TEKAK DIJAMU LANGSAI SEGALA HITUNG APA DIHIRAU YANG TERSEDAK MENGADU
YANG TERESAK DIBIAR TERMANGU MENCAMPAK DADU

Friday, September 21, 2012

Kerja Aku Nan Olah Peta Individualiti

"Kau sekarang macam kertas di awangan. Cepat koyak. Cuba kau jadi plastik sampah. Walaupun nampak jijik tapi kau mesti ada. Tak ada kau mana orang nak buang sampah..."

Dingin subuh hari itu tak disangka ada yang datang menemani jendela kudrat menjenguk ke pintu rezeki pada ketika mentari memanjat langit. Dimandinya segala yang menadah dituangnya segala yang menyumpah. Aku sudah bertahun bersabung keringat sama masa aku memikul merangka menjulang keraian temasya keriangan. Mesti panjat merangkak dulu sebelum aku bisa berpaut merangka. Kitab yang aku dengar khabar seragam segala cerita, aku bersapa beramal dengannya. Kadang-kadang salah ejaannya aku ditunjuknya.

Di sini juga aku beroleh meneguk kerah keringat sendiri kerana selalu menghirup untung dituang. Kanta ku makin jelas setelah digilapnya kerana sering aku disuluh diembun sehingga berkabus teraba-raba. Bersapalah aku dengan para jemaah yang terputus-putus safnya tetapi sama rakaatnya. Kadang-kadang aku menyusul setiap saf kadang-kadang juga aku bikin sendiri. Mujur imamnya masih satu.  

Ada orang diajar dengan hitung kira pantas sang kuda agar yang berbatu rasa sejengkal. Ada orang dikerah bajak ternak lombong bumi dapatlah membuncit yang kempis. Ada orang bersabung arus kilat agar yang tidur makin lena  yang jaga giat kerja. Aku dijodoh dengan dia dapatlah aku pecah tempurung sempit sesak jadi medan lapang juang. Dapatlah aku memegang yang hakiki kerana terlalu lama terdampar dalam mimpi yang tiada erti. Menyiram bahasa pada bunga lantas dipintas sang lebah bisa. Bercalit arang mentari bikin mereka bingkas lari. 

Berhajat mahu menjadi penyelia bongkah suara yang berlayar beradarkan monsun yang berlabuh di dermaga jiwa tapi aku buta susun aturnya. Mengidam mahu teraju layar masih belum layak fikirku. Teruja memutar lensa aku dibelenggu apa yang mahu diburu. Bertapa di gua minda makin lemas hilang udara. Membongkok aku mengutip sampah, memangku aku menyusun pepatah.


Thursday, December 16, 2010

SAPA-SAPAAN

1.Mana lubuk untuk aku kaut...
Mana darah untuk aku sedut...
Mana janji untuk aku tuntut...
Sedang diri hanyut tidak bertaut...


2.Kalau diidam kata hati, mahu sahaja dihirup darahnya...
Kalau disedar dunia hakiki, tangan ke tanah, kaki ke langit...


3.Gagak patah kepaknya dalam kurungan kembali menyusur dada langit, kembali mencari
buangan, kembali hidup dalam pulauan...